Sunday, May 25, 2008

Malay O Level Preparation

Tuliskan sebuah cerita yang bermula dengan permusuhan tetapi berakhir dengan persahabatan.

Suami kami memang menarik. Bukan sahaja dia tampan dan penyayang, tetapi juga soleh dan taat beribadah. Sudah tidak aneh kalau dia menjadi pujaan dan idaman kami.

Tetapi, kelebihan yang dimilikinya ini sudah pasti membawa suatu masalah di antara kami; aku dan Kania.

Wajahku sama cantik dengan Kania, kata Danial. Anak-anakku pun sama comelnya dengan anak-anak Kania. Kepalaku diangguk-angguk dan senyumku kulengkungkan apabila kudengar dia berkata begitu. Namun, hatiku selalu membangkang. Aku, sebagai seorang wanita, ingin dianggap lebih cantik, lebih menarik, lebih segalanya!

Kania memang menawan. Tubuhnya bagaikan seorang peragawati. Senyumnya manis bagaikan senyum Monalisa yang selalunya menarik perhatian para lelaki. Namun, bagiku, senyumnya bagaikan duri. Sungguh menusuk sanubariku. Mengapa cantik betul dia? Danial pasti telah berbohong kepadaku. Pasti dia menganggap bahawa Kania lebih cantik daripada aku. Aku yang sudah mulai keriput di sana sini, sudah lupa ini dan itu, pasti sudah tidak menarik lagi bagi Danial.

Di hadapan Danial, kami memang nampak baik-baik sahaja. Bersalaman, berpelukan, bersenyuman. Di sebalik semua itu, rasa benci ini ingin sekali aku luapkan.

"Hei, isteri muda tak tahu diri. Masih berani lagi kau menginjakkan kakimu di rumahku ini." kata-kata itu meluncur daripada bibirku ketika kami berada di dapur, menyiapkan makanan untuk perayaan harijadi anak perempuanku yang berumur tujuh belas tahun.

"Hai.. Apa pula hakmu melarang-larangku datang ke sini? Dasar orang tua tak tahu malu. Ingatkah yang rumah ini bukan milikmu? Menumpang rumah sahaja sudah sombong sangat."

Kurang ajar betul anak muda ini. Aku mengetap bibirku menahan perasaan geram yang sudah hampir meletus. Untung sahaja Danial datang menghampiri kami di dapur. Kalau tidak, rasanya ingin sekali aku menangankan mukanya.

Selepas sahaja Danial pergi, mulutnya dibuka lagi, "Heh, urus sahaja anak cacatmu itu. Anak cacat pun sombong sangat." Seperti pisau yang ditancapkan ke jantung hatiku, seperti itulah sindiran tajamnya menghancurkan perasaanku. Boleh dia menyindir apa-apa sahaja, tetapi jangan harap dia dapat menyindir anakku! Ternyata, senyum yang biasa dilengkungkannya itu menyembunyikan sebuah racun yang dapat dikeluarkannya sewaktu-waktu.

Setajam kata-katanya, setajam itu pula pisau yang akhirnya aku ambil dan kucuba hunuskan kepadanya. Namun, sayang seribu sayang, Danial menangkis seranganku sehinggakan pisau itu akhirnya terhunus kepadanya, bukan Kania.

Darah merah mengalir sederas aliran air mata jernihku dan Kania. Astaghfirullahalazim, Rafida, apa yang telah kau buat ini.. Kakiku menjadi lemah. Aku terduduk di lantai sambil merenung muka tampan Danial yang malang.

Sejenak sahaja, tetamu kami datang mengerumun. "Ampun, ampun, ampun.." seperti orang gila aku berteriak-teriak minta ampun.

Pujaan hatiku segera dibawa ke hospital dengan ambulans. Manakala aku dibawa ke pejabat polis oleh pihak polis yang segera datang. Tidak ada apa-apa lagi keterangan yang dapat aku berikan untuk membela diriku.

Di sinilah aku sekarang, di balik jeruji sel yang memang wanita penuh dendam seperti aku layak tinggali. Aku menyesal. Namun, bagaikan pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, perasaan sesalku sudah tidak ada gunanya lagi.

"Ada yang mahu bertemu dengan anda." kata pengawal itu. Ah, siapa pula yang hendak bertemu seorang pembunuh seperti aku. Dari jauh, aku ternampak muka cantiknya. Aku gementaran. Takut kalau-kalau dia akan mencaci maki aku atas kejadian ini.

Aku membisu. Malu aku. "Fida, keadaan Danial sudah membaik. Dia suruh saya hantarkan ini kepadamu." Sepucuk surat berwarna merah jambu diberikannya kepadaku.

"Sa..saya mohon maaf, Kania.. Selama ini, saya.." belum habis aku berbual, dia sudah menyampuk, "Tidak. Saya yang seharusnya bermohon maaf. Saya tidak seharusnya menyinggung soal anak kakak yang cacat. Saya.. terlalu terbawa oleh emosi. Maaf.." Kakak? Tanganku dipegangnya dengan erat.

Aku buka sepucuk surat itu. Surat dari Kania dan Danial. Air mataku mengalir membasahi pipiku. Danial.. Maafkan aku. Kania.. Maafkan aku. Aku memeluk tubuh mungil Kania dengan erat penuh haru.

Semenjak hari itu, dia selalu datang mengunjungiku. Danial pun datang setelah keadaannya sudah pulih. Aku dan Kania menjadi sahabat yang amat karib. Aku menganggapnya seperti adikku sendiri. Bahkan hubungan kami lebih akrab daripada hubungan kakak beradik bagaikan isi dengan kuku.









Evelyn

No comments: